Kudis Tekanan Akibat Terlantar atau Baring Terlalu Lama

Cuti sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini, kami sekeluarga mengambil kesempatan pulang ke kampung En. Ayah di Terengganu. Memandangkan anak-anak bersekolah, kami suami isteri tidak mengambil cuti tambahan dan hanya bercuti dengan memanfaatkan cuti 4 hari yang ada.

Perjalanan pergi dan balik dengan meredah kesesakan lalu lintas yang telah dijangka. Ya telah dijangka, tapi kami redah juga kerana ini peluang kami melawat orang tua di kampung lebih-lebih lagi ayah mertua kini terlantar sakit. Umurnya pun sudah menjangkau 80an. Selepas habis cuti, En Ayah menghantar kami pulang ke Shah Alam dan balik semula ke kampung dengan pengangkutan awam menunaikan kewajiban sebagai seorang anak.

Ayah mertua mengidap darah tinggi hingga strok, telah beberapa bulan terbaring dan terlantar hingga menyebab kudis di bahagian belakangnya. Kami suami isteri cuba mengumpul maklumat tentang kudis tersebut yang dikenali sebagai ‘Kudis Tekanan’. Maklumat ini kami dapatkan dari pelbagai sumber termasuk internet terutama portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ibu catatkan di keluargasihat.com untuk rujukan kemudian hari. Semoga memberi ilmu tambahan dan manfaat kepada semua yang membaca.

Apakah itu Kudis Tekanan dan bagaimanakah ia terjadi?

Kudis tekanan yang juga dikenali sebagai ‘bed sores’ atau ‘dicubitus ulser’ adalah kawasan kulit dan tisu yang tercedera akibat kurangnya pengaliran darah ke kawasan tersebut. Ini biasanya terjadi kepada individu yang terlantar sakit dan tidak mampu menggerakkan tubuh sendiri dalam tempoh yang lama seperti pesakit-pesakit yang koma dan pesakit-pesakit yang lumpuh. Kudis tekanan juga berlaku akibat dari kurang zat makanan dan dehidrasi.

Kudis tekanan akibat terlantar atau baring terlalu lama..

Kudis tekanan akibat terlantar atau baring terlalu lama..

Apakah tanda, simptom dan tahap kudis tekanan?

Tanda-tanda awal kudis tekanan ialah kemerah-merahan pada kawasan berisiko seperti tumit kaki, punggung, siku, bahu dan belakang kepala. Kudis tekanan juga boleh berlaku di buku lali, lutut, pinggul dan telinga.

kawasan berisiko terkena kudis tekanan

Bahagian-bahagian berisiko kudis tekanan..

Tanda-tanda awal tersebut boleh menjadi lebih teruk dengan bebarapa fasa keadaan sehingga kehilangan keseluruhan kulit, berlubang dan kerosakan tulang. Fasa dan tahap kudis tekanan dapat digambarkan melalui gambar di bawah.

tahap-tahap kudis tekanan

Fasa dan tahap kudis tekanan..

Bagaimana untuk mencegah kudis tekanan dari terjadi?

Antara cara untuk mencegah kudis tekanan adalah dengan mengalihkan posisi pesakit setiap 2 jam sekali. Ini adalah untuk mengelakkan berat badan pesakit menekan salur darah hingga menjadi sempit. Selain itu, penggunaan tilam yang sesuai juga dapat mengurangkan tekanan pada tempat-tempat yang terlibat sekaligus dapat mengurangkan risiko mendapat kudis tekanan. Sebaik-baiknya guna tilam yang lembut dan tidak panas.

Cara baringan juga dapat mencegah kudis tekanan dari terjadi. Rendahkan kepala katil untuk mengelakkan geseran antara bahagian tubuh pesakit dan elakkan baring di atas tulang pinggul. Letakkan bantal di antara buku lali dan lutut untuk mengelakkan daripada bergeser antara satu sama lain, dan juga di bawah betis untuk meninggikan tumit dari tilam. Walaubagaimanapun, jangan letakkan bantal di bawah lutut kerana ini boleh mengurangkan peredaran darah ke kaki.

Bagaimana merawat kudis tekanan yang telah terjadi?

Kudis yang telah terjadi perlu dikawal dan dirawat dengan baik agar tidak menjadi semakin teruk. Kudis perlu dicuci dengan kerap dan pastikan ia berada di dalam keadaan kering untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Elakkan pesakit baring di atas bahagian yang sakit dan terus mengubah posisi setiap dua jam sekali. Gunakan bantal, belon air atau selimut untuk mengelakkan tekanan di bahagian yang sakit dan bahagian-bahagian lain yang berisiko.

Berikan pesakit makanan yang berkhasiat dan seimbang. Para pesakit juga digalakkan mengambil makanan tambahan yang mengandungi vitamin C, zinc dan diet tinggi protein kerana ianya diperlukan oleh kulit dalam proses penyembuhan luka. Bagi para pesakit kencing manis, mereka juga harus mengawal pengambilan gula dan sentiasa mengambil ubat supaya paras glukos dalam darah tidak tinggi. Pesakit juga perlukan air kosong yang cukup untuk mengelakkan dehidrasi.

Pada sesiapa yang juga berhadapan dengan situasi ini, boleh terus minta nasihat kepakaran dari pelbagai bidang seperti doktor, jururawat, jurupulih anggota dan jurupulih; tentang carakerja yang boleh membantu dari segi teknik mengangkat dan mengalih, posisi badan dan alat bantuan.

Semoga entry ringkas ini dapat membantu, mudah-mudahan.

(Visited 3,990 times, 1 visits today)

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge