Masalah Uri Di bawah atau Placenta Previa Semasa Mengandung

placenta

Melalui fasa kehamilan adalah sesuatu yang sangat membahagiakan seorang wanita bergelar isteri. Walaubagaimanapun, ada beberapa keadaan yang berlaku semasa kehamilan menimbulkan rasa tidak selesa dan kerisauan. Di antaranya ialah masalah uri atau placenta di bawah.

Apakah yang dimaksudkan dengan uri atau placenta?

Uri atau placenta adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.

Apakah yang dimaksudkan dengan uri di bawah rahim?

Uri di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Rajah perbandingan kedudukan uri yang normal dan uri di bawah (placenta previa)

Rajah perbandingan kedudukan uri yang normal dan uri di bawah (placenta previa)

Adakah masalah uri di bawah rahim sesuatu yang normal?

Masalah uri di bawah adalah sesuatu yang normal pada awal kehamilan, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Apakah yang boleh dilakukan jika berlaku Placenta Previa?

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja.

Tahap keseriusan Placenta Previa

Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu:

Jenis 1 – uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim,
Jenis 2 – uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim,
Jenis 3 – uri menutupi sebahagian pintu rahim dan
Jenis 4 – uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Apakah punca Placenta Previa?

Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apakah komplikasi yang boleh berlaku kepada bayi dan ibu akibat Placenta Previa?

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja. Jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Apakah kaedah bersalin yang selamat bagi ibu yang mengalami Placenta Previa?

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Sumber: Arkib Utusan Online

Sumber: Arkib Utusan Online

(Visited 36,121 times, 1 visits today)

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge