Teknik Mengangkat Dan Mengalih Warga Emas Berkerusi Roda

Warga emas berkerusi roda

Warga emas berkerusi roda

 

Hari ini 28 Ramadhan 1436H, bermakna dua hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sambil bersantai-santai, ibu terkenang kenangan Syawal tahun lepas. Ibu, En Ayah dan adik lelaki ibu berpeluang membawa abah ibu berhari raya di rumah adik beradiknya. Ya, abah ibu berkerusi roda. Abah mengalami masalah saraf kesan dari penyakit kencing manis yang dihidapinya.

.

Tahunni mungkin giliran adik beradik yang lain pula memandangkan cuti ibu sangat terhad, dan perlu pula dibahagi dua kampung. Ibu catatkan di www.keluargasihat.com tentang teknik mengangkat dan mengalih warga emas berkerusi roda untuk panduan bersama. Kebiasaannya, untuk info-info kesihatan ibu akan merujuk kepada Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

.

Teknik Mengangkat & Mengalih Warga Emas Berkerusi Roda

.

Teknik ini boleh disesuaikan dengan keadaan. Macam abah kami, beliau masih mampu duduk dan menggerakkan badan. Cuma tak mampu nak berdiri sendiri dan berjalan.

.

Teknik Mengangkat & Mengalih Warga Emas (di Katil)

Mengangkat warga emas yang terlantar memerlukan teknik-teknik tertentu agar tidak berlaku sebarang kemudaratan terhadap warga emas dan juga penjaga. Adalah dinasihatkan agar si penjaga melakukan senaman ringkas sebelum mengangkat dan mengalih warga emas.

Senaman ini merangkumi:

  • Senaman pernafasan
  • Senaman memanaskan badan
  • Senaman regangan
  • Senaman menguatkan otot.

Senaman ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kekuatan dan fleksibiliti otot, membantu mencegah kecederaan diri penjaga dan memudahkan kerja-kerja mengangkat dan mengalih warga emas.

Bagi teknik mengangkat dan mengalihkan warga emas pula terdapat dua bahagian iaitu teknik yang dilakukan oleh seorang penjaga dan teknik yang dilakukan oleh dua orang penjaga.

.

Seorang Penjaga

Untuk mengangkat warga emas yang baring terlentang ke kerusi roda. Mula-mula letakkan kerusi roda ke sisi katil. Pasang brek kerusi roda, alihkan tempat letak kaki dan tanggalkan lengan kerusi roda (jika boleh).

Mulakan dengan bengkokkan siku kanan warga emas ke paras bahu kemudian letakkan tangan kiri keatas perutnya.

Silangkan kaki kiri ke kaki kanan. Penjaga berdiri dengan sebelah kaki melutut di atas katil di sisi warga emas. Ampu bahu kiri dan pinggul kiri warga emas. Pusingkan badan warga emas secara serentak ke kanan. Lakukan langkah yang sama untuk memusingkan badan ke kiri.

Turunkan kedua-dua kaki warga emas ke sisi katil. Ampu bahu kanan dan pinggul kirinya.Kemudian angkat warga emas ke posisi duduk.

Posisikan lutut warga emas dengan lutut penjaga. Ampu punggung warga emas dan gerakkan punggungnya ke kiri dan ke kanan sehingga kaki mencecah lantai.

Letakkan kedua-dua belah tangannya di atas bahu penjaga dan ampu pinggangnya. Bantu mereka untuk berdiri.

Kemudian pusingkan badan warga emas ke arah kerusi roda serentak dengan kaki penjaga. Pastikan lutut penjaga menyokong lutut warga emas untuk menstabilkannya. Bengkokkan badan dan dudukkannya di atas kerusi roda.

.

Dua orang Penjaga

Teknik kedua ialah mengangkat dan mengalih warga emas yang dilakukan oleh dua orang penjaga.

Kedua-dua penjaga berada di kiri dan kanan katil warga emas. Kemudian tangan setiap penjaga di letakkan di bahagian lengan atas dan belikat warga emas. Kedua-dua penjaga secara serentak mengankat warga emas ke posisi duduk.

Langkah seterusnya, sebelah lengan penjaga mengenggam di antara satu sama lain di bawah lutut warga emas. Bahu penjaga di letakkan di bawah ketiak warga emas. Pegang seluar atau sarong warga emas secara serentak dan alihkan ke belakang atau ke hadapan.

Seterusnya, seorang penjaga menyokong warga emas dari belakang dan menggengam kedua-dua tangannya. Penjaga kedua berada di hadapan warga emas dan mengampu  betis dan lutut warga emas dari bawah. Secara serentak angkat warga emas ke kerusi roda.

.

Teknik Mengangkat dan Mengalih Warga Emas (di Kereta)

Untuk mengalih warga emas dari kerusi roda ke kereta pula, letakkan kerusi roda di sisi pintu kereta. Pasangkan brek kerusi roda. Alihkan tempat letak kaki kerusi roda.

Posisikan lutut warga emas di antara lutut penjaga. Gerakkan punggung warga emas  secara berselangseli ke hadapan dan dirikannya. Sokong lutut semasa memusingkan badan warga emas kearah kereta dan dudukkannya di tempat duduk. Masukkan kaki warga emas ke dalam kereta.

Untuk mengangkat warga emas kembali ke kerusi roda dari tempat duduk kereta pula, pastikan kerusi roda berada di sisi pintu kereta. Alihkan tempat kaki kerusi roda dan pasangkan brek.  Pusingkan warga emas dan keluarkan kakinya hingga mencecah ke tanah. Posisikan lutut warga emas  di antara lutut penjaga. Letakkan kedua-dua tangan warga emas di bahu penjaga dan dirikannya. Pusingkan warga emas perlahan-lahan ke kerusi roda dan dudukkannya. Letakkan kaki di atas tempat letak kaki kerusi roda, lepaskan brek dan tolak.

Aktiviti mengangkat dan mengalih warga emas sememangnya memerlukan kesabaran dan tenaga yang kuat. Setiap penjaga perlu memastikan diri mereka berada di dalam situasi yang selesa, Ruang yang luas lantai yang rata tidak licin adalah penting dan perlu di ambil kira .

.

Perkara-Perkara Yang Perlu Dielakkan Semasa Mengangkat dan Mengalih Warga Emas

  • Elakkan dari membongkok semasa mengangkat warga emas.
  • Elakkan penjaga hanya berstokin sahaja. Sekiranya penjaga berstokin tanpa berkasut, digalakkan membukanya semasa mengangkat dan mengalih warga emas untuk mengelakkan licin dan tergelincir
  • Elakkan pergerakan yang mengejut atau tiba-tiba. Pastikan kedua-dua pihak (penjaga dan warga emas) bersedia untuk setiap pergerakan
  • Jangan menarik bahu warga emas untuk mengelakkan kecederaan pada sendi bahagian tersebut
  • Jangan memusingkan pinggang penjaga. Ketika memusingkan warga emas, penjaga mestilah memusingkan tapak kakinya dan bukannya bahagian pinggang (penjaga).

.

Semoga catatan tentang teknik-teknik ini dapat membantu mereka yang memerlukan info ini.

.

Salam mesra;
Ibu Yusuf dan Maryam
zefa_asmara@yahoo.com
(Visited 167 times, 1 visits today)

You may also like...

1 Response

  1. terima kasih atas sharing…jarang jugak ada sharing sebegini..tapi jika ada grafik mungkin lebih membantu :-)
    Riza Afzan Asri recently posted…5 Amalan Ketika Hamil Kurangkan Jaundis Bayi Baru LahirMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge