Saat isteri disahkan mengandung atau hamil adalah sesuatu yang sangat menggembirakan pasangan suami isteri lebih-lebih lagi jika zuriat tersebut sememangnya dinanti-nantikan. Walaubagaimanapun, pasangan harus bersedia bahawa ada perubahan-perubahan yang bakal berlaku terutama yang melibatkan emosi dan fizikal.
Isteri saya disahkan mengandung. Apa saya perlu buat?
Wanita hamil akan berhadapan dengan perubahan emosi dan fizikal. Maka suami sebagai orang yang terhampir, perlu memainkan peranan-peranan ini:
1. Persediaan mental
Keadaan seorang wanita yang berbadan dua mungkin berbeza dengan keadaan sebelumnya. Perlu berhadapan dengan ‘morning sickness’, mudah letih, mudah marah, mudah tersentuh, beremosi, dan sebagainya. Suami perlu membuat persediaan mental untuk berhadapan dengan semua situasi tersebut.
2. Persediaan keperluan fizikal
Apabila isteri disahkan hamil, maka tanggungjawab suami bertambah. Maka suami perlu membuat persediaan fizikal bermula dari saat kehamilan, melahirkan dan membesarkan anak yang akan dilahirkan.
Perbelanjaan keluarga bakal bertambah, jadi rancang perbelanjaan dengan baik. Jangan lupa rutin pemeriksaan bulanan, makanan berkhasiat, vitamin untuk ibu hamil, persediaan hospital bersalin, persediaan keperluan bayi dan persediaan tempoh berpantang.
3. Beri bantuan dan ringankan tulang
Kekuatan fizikal wanita hamil pasti tidak sama dengan wanita yang tidak hamil. Suami perlu memberi bantuan terutama dalam kerja-kerja rumah seperti menjaga anak, membasuh baju dan mengemas rumah.
Isteri juga mungkin alah dengan bau-bauan ketika memasak. Jadi, inilah masanya suami ambil peluang untuk jadi chef di rumah sendiri. Masakkan hidangan yang berkhasiat untuk isteri, pasti usaha anda akan dihargai.
Isteri hamil juga mudah letih dan mungkin sakit-sakit badan. Jangan teragak-agak untuk menawarkan urutan ringan agar isteri lebih lega dan selesa.
4. Jadi motivator dan pendengar yang setia
Sewaktu hamil adakalanya isteri terlalu bermain dengan emosi. Luangkan lebih masa dan beri peluang untuk isteri meluah rasa serta jadilah pendengar yang setia. Suami perlu memainkan peranan untuk memberi kata-kata motivasi agar isteri lebih positif sepanjang kehamilan dan terus kuat berhadapan dengan semua dugaan semasa hamil.
5. Kerohanian
Tanggungjawab kepada keluarga bukan sekadar untuk memastikan keperluan fizikal tetapi juga di dalam bahagian kerohanian. Pastikan kewajiban dan tanggungjawab kepadaNya tidak diabaikan. Banyakkan berdoa dan membaca Al Quran agar anak yang dilahirkan sihat, sempurna dan menjadi anak yang soleh.
Peranan suami disaat kehamilan isteri memang sangat memberi impak besar kepada isteri. Membantu isteri dalam segala hal akan buat isteri dihargai dan juga disayangi.
nila anggraini recently posted…9 Cara Menggembirakan Pasangan Yang Perlu Anda Buat