Kaedah Berkhatan Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

berkhatan

Maaf ya, gambar ini sekadar hiasan. Saya tidak tega menunjukkan gambar sebenar..

Musim peperiksaan hujung tahun sedang berlangsung dikebanyakan sekolah, juga sebagai tanda sesi persekolahan tahunan semakin menghampiri penghujung. Maka antara urusan yang mula difikirkan oleh sebahagian ibu bapa semasa cuti sekolah ialah mahu mengkhatankan anak lelaki.

Berkhatan adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang. Ia juga dikenali dengan sunat atau dalam bahasa Inggeris dinamakan ‘circumcision’.

Berkhatan atau bersunat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam. Alhamdulillah, anakanda Yusuf telah selamat dikhatankan pada tahun 2013 ketika berumur 9 tahun.

Ada beberapa kaedah atau cara berkhatan, tapi setelah mencari beberapa maklumat dan meneliti beberapa faktor Ayah Yusuf memilih kaedah konvensional untuk mengkhatankan anak lelakinya itu. Kebanyakan info kami dapati dari rakan-rakan yang berpengalaman, carian diinternet dan maklumat dari beberapa klinik yang kami lawati semasa proses memilih lokasi berkhatan.

Kami kongsikan di sini info-info berkaitan kaedah berkhatan untuk rujukan bersama.

Kaedah Berkhatan Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Secara umumnya ada dua kaedah utama untuk berkhatan iaitu kaedah konvensional dan kaedah clamping.

1. Kaedah Konvensional

Kaedah ini dilaksanakan dengan memotong serta membuang kulit di hujung kemaluan kemudian memberhentikan darah secara manual dan seterusnya menjahit baki kulit.

Kaedah Konvensional 1 ~ Pisau dan Gunting

Jika dahulu, kaedah berkhatan mesti menggunakan pisau khas, batang pisang dan pelbagai lagi alatan untuk bersunat. Pada masa kini kaedah menggunakan gunting dan pisau (blade) masih juga digunakan oleh sebilangan doktor.

Pendarahan diberhentikan menggunakan teknik ‘Ligation’ iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah secara ini adalah selamat kerana, saluran darah besar akan tertutup dengan pasti menggunakan benang berbanding membakar menggunakan cautery.

Kaedah Konvensional 2 ~ Cautery atau Laser

Pada masa sekarang kaedah konvensional ini terus menjadi pilihan dengan kewujudan alat moden yang diberi nama ‘cautery’ atau lebih popular dikalangan orang kebanyakan sebagai ‘laser’. Walaubagaimanapun ia sebenarnya bukanlah sejenis laser.

Cautery ini adalah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini membolehkan pendarahan semasa proses berkhatan dapat dikurangkan.

Gabungan Kaedah Konvensional 1 & 2

Ramai doktor hari ini menggabungkan kaedah konvensional ! dan 2 iaitu dengan memotong kulit dan memberhentikan salur darah menggunakan cautery, dan kemudiannya menjahit kulit menggunakan benang ‘catgut’. Ini mempercepatkan lagi proses berkhatan dengan anggaran masa 20 minit sahaja untuk seorang pesakit .

2. Kaedah Clamping

Ada beberapa jenis clamp yang digunakan untuk berkhatan,  seperti Plastibell, Taraclamp, Smartclamp, Sunathrone dan Ismail Clamp.

Secara amnya clamp mempunyai dua komponen. Komponen pertama adalah bahagian yang melindungi glans  penis dan bahagian yang kedua adalah bahagian yang mengepit lapisan kulit prepuce dengan lapisan pertama. Dengan ini darah tidak akan mengalir ke bahagian kulit tersebut dan kulit itu akan mati. Ia mengelakkan dari perdarahan dan tidak perlu untuk melakukan jahitan. 

Kaedah clamp menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa kerana pesakit mudah dijaga malah boleh melakukan aktiviti seperti biasa walaupun selepas baru sahaja berkhatan. Dengan kaedah ini pesakit boleh terus berseluar berbanding pesakit kaedah konvensional yang perlu berkain pelikat.

Selepas 7 hari pesakit perlu hadir semula ke klinik untuk membuka clamp. Adakalanya ia akan jatuh sendiri dan ini akan lebih memudahkan urusan.

smartklamps

Smart clamp

Mengapa Kami Memilih Kaedah Konvensional Dan Bukan Clamp?

Memandangkan Yusuf adalah anak sulung lelaki kami, kami tidak ada pengalaman menguruskan proses berkhatan melainkan pengalaman Ayah Yusuf semasa kecil semata-mata (dalam penulisan serius ini tiba-tiba ibu rasa lucu mahu ketawa. Hihi..)

Info dari internet dan beberapa orang ibu bapa yang kami temui berkongsi beberapa pengalaman berikut:

1. Kaedah konvensional memerlukan hanya sekali urusan di klinik berbanding kaedah clamping yang perlu ke klinik semula selepas 7 hari.

2. Dengan kaedah clamping adakalanya clamp akan melekat di kawasan kemaluan. Apabila ini terjadi, pesakit akan merasa sakit ketika clamp dibuka.

3. Ada juga pendarahan berlaku selepas clamp dibuang. Ini kerana kulit yang diclamp tidak tertutup sepenuhnya. Masalah jangkitan boleh berlaku pada teknik clamp dan mengakibatkan luka lambat sembuh.

2. Mereka yang berkhatan dengan kaedah konvensional hanya merasa sakit pada waktu bersunat sahaja dan tidak selepas itu kerana benang yang dijahit akan hilang sendiri dan tidak perlu datang semula ke klinik. Ramai yang berkongsi pesakit tidak merasa sakit kerana suntikan bius akan diberikan sebelum proses berkhatan.

Rumusan

Tulisan ini walaupun ringkas sebenarnya memberi gambaran yang jelas tentang kaedah-kaedah yang boleh dipilih untuk mengkhatankan anak masing-masing. Perkongsian mengapa kami memilih kaedah konvensional juga boleh dijadikan panduan umum.

Secara umumnya jika memilih kaedah yang mudah dari segi penjagaan pilihlah kaedah clamp. Tetapi jika mahu yang lebih tradisi pilihlah kaedah konvensional.

Jika anda memilih cara konvensional ibu bapa terutama golongan yang menjaga perlu ‘kuat’ dan tahan lutut. Apakah maksudnya? InsyaAllah akan saya kongsikan dalam tulisan seterusnya ‘Pengalaman Menjaga Anak Berkhatan‘.

Salam mesra;
Ibu Yusuf dan Maryam
zefa_asmara@yahoo.com
(Visited 6,136 times, 2 visits today)

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge