5 Aktiviti Harian Semasa Cuti Sekolah

Tidak lama lagi sesi persekolahan bagi tahun 2016 akan berakhir. Anak-anak pelajar akan bercuti panjang setelah hampir setahun bergelumang dengan buku-buku dan pembelajaran di sekolah.

Ibu kira, kita sebagai ibu bapa dah boleh mula merangka dan merancang aktiviti berfaedah untuk anak-anak sepanjang cuti sekolah. Pasti ada yang merancang percutian sama ada di dalam atau luar negara, ada yang mahu balik ke kampung halaman, ada yang telah mendaftar dengan kem-kem cuti sekolah, kem-kem tahfiz dan sebagainya.

Bercuti ke, pergi kem ke, balik kampung ke, tidaklah sepanjang cuti kan? Jadi, bagaimana pula dengan aktiviti harian? Tanpa perancangan, cuti sekolah anak-anak mungkin hanya akan dipenuhi dengan menonton televisyen dan bermain sahaja.

5 Aktiviti Harian Semasa Cuti Sekolah

Ibu kongsikan di sini 5 aktiviti harian semasa cuti sekolah yang ibu pernah rancang dan buat dengan anak-anak masa ibu cuti tanpa gaji 2 tahun lepas.

1. Gotong royong membersihkan ruang belajar dan bilik tidur

Bila sesi persekolahan berakhir, pastinya banyak buku-buku dan nota-nota lama yang perlu diasingkan bagi memberi laluan kepada buku-buku baru untuk sesi persekolahan akan datang. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk anak-anak bergotong royong bersama adik beradik yang lain untuk membersihkan ruang belajar masing-masing.

Yusuf dan Maryam mempunyai ruang belajar di dalam bilik masing-masing. Maka sambil membersihkan ruang belajar, ibu ambil kesempatan tersebut untuk memastikan mereka mengemaskan keseluruhan bilik tidur itu sendiri.

2. Pergi perpustakaan awam

Selangkah ke perpustakaan, sejuta pengetahuan. Cuti sekolah bukan bermakna masa untuk melupakan buku-buku. Ambil kesempatan sekurang-kurangnya setengah hari untuk anak-anak beraktiviti di sana. Ada banyak pilihan buku yang boleh dibaca.

Pastikan mereka membawa sebuah buku nota dan pen untuk mencatat perkara baru yang mereka perolehi dari bahan yang mereka baca.

3. Program masuk dapur

Anak-anak memang suka makan, pasti berulang alik masuk dapur akan menjadi aktiviti yang paling kerap. Maka mari rancang aktiviti memasak yang boleh melibatkan mereka.

Mungkin buat sandwich ringkas, atau buat sendiri aiskrim Malaysia, boleh juga menguli tepung dan menerap biskut.

4. Merancang aktiviti kejutan

Berada di rumah sepanjang hari hanya bersama ibu, pastinya anak-anak tertunggu-tunggu kepulangan ayah mereka pulang dari kerja. Apa kata kita buat sedikit kejutan untuk ayah bila balik kerja.

Beri peluang untuk anak-anak berfikir sendiri, kejutan apa yang mereka boleh buat. Tetapi sebagai ibu kita boleh beri sedikit hint, mungkin sediakan minum petang untuk ayah dengan biskut buatan mereka sendiri. Pasti menarik!

5. Bercucuk tanam

Dulu pernah rancang aktiviti ni tapi tak sempat laksanana. Ketika itu ibu merancang untuk mewujudkan program pokok angkat kepada anak-anak untuk menerapkan lebih semangat ‘go green’ dalam diri mereka.

Lepas balik dari bercuti di Tanah Aina Farrah Soraya Raub Pahang baru-baru ni, semangat ‘go green’ ibu kembali membuak-buak. Alhamdulillah, ada juga impak positif dari percutian tu.

Untuk projek ini ibu perlu mengeluarkan modal membeli tanah berbaja dan biji benih, tetapi hanya akan menggunakan bekas-bekas terbuang sebagai pasu kitar semula. Untuk permulaan, tak perlu banyak. Cukup sepasu seorang. 

Sebenarnya, dari dulu lagi ibu sangat teruja untuk projek pokok angkat ini. Ibu mahu lihat bagaimana Yusuf dan Maryam menjalankan tanggungjawab terhadap pokok-pokok mereka. Agak-agak, perlu diingatkan atau tidak waktu siram pokok? Kita tunggu dan lihat.

aktiviti cuti sekolah

Alhamdulillah, itulah dia 5 aktiviti harian yang ibu pernah rancang dan buat untuk Yusuf dan Maryam. Sama-sama kita fikirkan, apa lagi aktiviti yang sesuai untuk mereka.

Ibu-ibu, mari kita bersiap sedia fizikal dan mental menghadapi kerenah anak-anak sepanjang cuti sekolah. Semangat!!

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Salam mesra;
Ibu Yusuf dan Maryam
zefa_asmara@yahoo.com
(Visited 415 times, 1 visits today)

You may also like...

1 Response

  1. 07/11/2016

    […] sekolah hujung tahun semakin hampir. Seperti tahun-tahun yang lepas, pada waktu ini ibu mula sibuk merancang aktiviti harian dan percutian untuk anak-anak sepanjang cuti […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge