Kanak-kanak Lambat Berjalan ~ Punca dan Tindakan Perlu Dibuat Ibu Bapa

kanak-kanak lambat berjalan punca dan tindakan ibu bapa

Puan Ratna mula merasa bimbang, anak ketiganya yang kini berumur setahun 3 bulan masih belum boleh berjalan. Abangnya dulu sudah boleh berjalan pada usia 10 bulan dan kakaknya boleh berjalan pada usia setahun sebulan. Setiap kali pemeriksaan doktor dan suntikan imunisasi, doktor tidak pernah menyebut sebarang masalah berkenaan perkembangan fizikal anaknya.

Kanak-kanak Lambat Berjalan

Menurut satu artikel di Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan.

Sekiranya anak belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Apakah punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?

Sekiranya seseorang bayi didapati lewat berjalan, salah satu daripada faktor-faktor berikut mungkin boleh berperanan:

1. Faktor keluarga atau keturunan

Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.

2. Kelahiran pramatang

Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.

3. Cerebral Palsy

Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.

Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.

4. Lewat perkembangan secara umum (global)

Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).

Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.

5. Masalah otot

Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.

Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.

Apakah tindakan yang perlu dibuat oleh ibu bapa sekiranya anak lambat berjalan?

Kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu dibawa untuk menjalani pemeriksaan oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.

Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa seawal umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak tersebut masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak tersebut mungkin akan terus dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Kesimpulannya, Puan Ratna tidak perlu terlalu risau. Umur anaknya belum lagi mencapai 18 bulan. Lagipun, setiap kali pemeriksaan doktor dan suntikan imunisasi, doktor tidak pernah menyebut sebarang masalah berkenaan perkembangan fizikal anaknya.

Semoga anak Puan Ratna membesar dengan sihat dan bijak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Salam mesra;
Ibu Yusuf dan Maryam
zefa_asmara@yahoo.com

(Visited 820 times, 1 visits today)

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

CommentLuv badge