Alhamdulillah, pada 30 Julai – 1 Ogos 2018 yang lepas ibu dan seorang sahabat melalui pengalaman 3 hari 2 malam di Siem Reap Cambodia.
Selepas Jogjakarta, ini percutian ibu yang kedua tanpa agensi pelancongan. Ibu beli tiket kapal terbang sendiri, tempah hotel sendiri, buat itinerari sendiri, senang cerita semua urus sendirilah.
Permusafiran kami ini hanya fokus di Siem Reap sahaja, jadi cukuplah hanya 3 hari 2 malam. Kepada yang berhajat ke Phnom Phen juga, boleh lah tambah sehari 2 lagi.
Bajet dan Itinerari 3 Hari 2 Malam ke Siem Reap Cambodia Tanpa Agensi Pelancongan
Ibu berbesar hati berkongsi bajet dan itinerari ibu di sini, sebagai rujukan dan panduan rakan-rakan pembaca yang ingin ke sana kelak.
Itinerari dan Bajet
Itinenari sepanjang di Siem Reap, ibu rangka dengan konsep santai, fleksibel dan tidak terlalu padat. Berikut adalah itinerari sebenar kami sepanjang di Siem Reap secara ringkas. Doakan ibu rajin untuk menulis cerita penuh pula selepas ini;
Hari Pertama ~ 30.07.2018 (Isnin)
– Ketibaan (8.00 am)
– Silk Farm*
– War Museum (USD5.00)
– Lunch (Muslim Family Kitchen)
– Check in / solat / rehat
– Lotus Farm (USD1.00 utk 2 orang)
– Tonle Sap (USD15.00)
– Old Market/ Night Market/ Pub Street
– Dinner (Wau Restaurant Siem Reap)
– Balik hotel

Siem Reap International Airport

Proses membuat benang dari ulat sutera
Hari Kedua ~ 31.07.2018 (Selasa)
– Breakfast (Muslim Family Kitchen)
– Angkor Wat Temple (USD37.00)
– Ta Prom Temple
– Bayon Temple
– Lunch (Angkor Halal Restaurant)
– Balik hotel/ solat/ rehat
– Old Market/ Night Market/ Pub Street
– Dinner (Muslim Backpackers)
– Balik hotel

Gambar kenangan berlatar belakangkan Angkor Wat Cambodia

Ta Prom Temple, di sinilah Angelina Jolie berlakon cerita Tomb Rider
Hari Ketiga ~ 01.08.2018 (Rabu)
– Breakfast (Cambodian Muslim Restaurant)
– Madrasah Qomaruddin Al Islamiah
– Meyelusuri Kg Stengmai Siem Reap
– Mini Killing Field
– Artisan D’Angkor*
– Lunch (Muslim Family Restaurant)
– Check out/ Airport/ berlepas (2.55 pm)

Mini Killing Field, antara kesan tinggalan kekejaman rejim Pol Pot
Bajet Keseluruhan 3 Hari 2 Malam di Siem Reap Cambodia
– Hotel 3 hari 2 malam (USD30.00/2 = USD15)
– Tiket lawatan/tips (USD60.00)
– Tuk Tuk 3 hari (USD50.00/2 = USD25)
– Makan (USD30.00)
– Shopping/ dll (USD20.00)
– Jumlah (USD150.00)
Bulan lepas (Julai 2018) nilai tukaran wang yang ibu dapat ialah USD1 = RM4.06
– Tiket kapa terbang (RM245.00)
Tambah tolak semuanya, termasuk tiket kapal terbang dan tambang ke KLIA2 tak sampai pun 1k seorang. Okeylah tu kan?
Tiket Kapal Terbang
Harga tiket adalah sesuatu yang sabjektif untuk dibincangkan. Ia bergantung jenis syarikat penerbangan, ada promosi atau tidak, tambah bagasi atau tidak dan sebagainya.
Ibu menaiki kapal terbang Air Asia dari KLIA 2 dan mendarat di Siem Riep International Airport dengan harga tiket pergi balik RM245.00 tidak termasuk bagasi, makan dan insuran.
Hotel
Hasil info berdasarkan carian di internet ibu mengambil keputusan menempah Pan Pan Villa Hotel melaui aplikasi booking.com
Ternyata pilihan ibu tepat sebab hotel ini murah (hanya USD15.00 semalam), selesa dan berada dalam kawasan penempatan Muslim. Nak cari makan senang dan nak ke night market pun boleh jalan kaki sahaja.

Nampak selesakan? Sangat berbaloi dengan bayaran USD15.00 semalam
Sewa Tuk-Tuk
Mencari kelainan dalam percutian kali ini, ibu mengambil keputusan untuk menaiki tuk-tuk sebagai kenderaan di sana. Kalau nak sewa kereta, di Malaysia pun hari-hari naik kereta. Kan?
Tuk-tuk adalah salah satu pengangkutan awam utama di Cambodia. Memang ada di mana-mana, tinggal tahan, naik dan bayar. Tapi untuk memudahkan perjalanan, kami sewa terus tuk-tuk dengan pemandunya selama 3 hari.
Pemandu tuk-tuk kami namanya Mustafa. Muslim dan fasih bercakap Melayu sebab pernah bekerja di Malaysia dulu. Mustafa sentiasa pastikan bekalan air mineral sejuk untuk kami tak pernah putus, dan siap bagi wifi lagi.
Mustafa mengenakan bayaran USD50.00 untuk 3 hari termasuk ambik dan hantar ke airport. Sebenarnya boleh lagi jimat kalau ambik 2 hari sahaja sebab hari ketiga tu cuma setengah hari. Hotel pun boleh uruskan pengangkutan ke airport. Tapi tak apa, kami puas hati dengan apa yang kami bayar. 5 bintang untuk Mustafa.
Boleh hubungi Mustafa ditalian +855 70 596 040 melalui aplikasi whatsapp.

Tuk-tuk Cambodia
Nota Santai Ibu
1. Mana-mana bajet yang ibu tulis /2 maksudnyanya bahagi 2 orang. Yang ada tanda * tak kena bayar, tapi digalakkan bagi tips kepada petugas yang mengiringi kita dan menyampaikan info berkaitan.
2. Bawaklah peruntukan khas untuk bersedekah. Di Siem Reap ada madrasah dan perkampungan Muslim yang menerima sumbangan dan bantuan.

Gambar kenangan bersama mudir, tenaga pengajar dan pelajar Madrasah Qomaruddin Al Islamiah
3. Kami tak shopping sangat, walau tiap-tiap malam pergi night market. Tak habis separuh pun bajet USD20. Pub street tu kami nak tengok je, tak buat benda tak senonoh tau. Dah kata nak tengok tempat orang kan? Hehe..

Antara cenderahati yang boleh dibeli di sana
4. Makan – Kami terjah hampir semua restoran halal di Siem Reap yang selalu blogger review. Nak makan macam kami, bawalah minima USD30.00 untuk seorang makan. Kalau nak jimat, boleh bawa bekal makanan sendiri.

‘Lembu Naik Bukit’, antara menu wajib cuma. Kami makan menu ni 2 kali di sana, punyalah sedap
Siem Reap jika dilihat dengan mata kasar hanyalah sebuah negara yang panas, berdebu dengan kemiskinan di mana-mana. Tapi berjalan dan pandanglah dengan mata hati, nescaya kita akan peroleh keinsafan dan kesyukuran tak terhingga menjadi Muslim di Malaysia.
Sekian catatan ringkas perjalanan ibu selama 3 hari 2 malam di Siem Reap Cambodia. Salam mesra;