Jujurnya ibu tak pernah bawa bayi naik kapal terbang. Kali pertama bawa Yusuf dan Maryam naik kapal terbang, dua-dua dah pun besar dan bersekolah. Walaupun masa tu En Ayah tak ada bersama, mereka sangat mudah diurus.
Tapi ibu ramai rakan-rakan dari golongan ibu-ibu muda yang selalu berkongsi pengalaman membawa anak mereka yang masih bayi menaiki kapal terbang.
10 Tips Bawa Bayi Menaiki Kapal Terbang
1. Bawa keperluan anak dalam satu bag handcarry
Pastikan keperluan asas bayi seperti lampin pakai buang, tisu lembab, botol susu dan lain-lain barang yang penting dibawa dalam satu bag yang boleh dipegang. Letakkan barang di bawah kerusi supaya mudah dicapai.
Walaubagaimanapun, mengikut pengalaman kawan-kawan ibu petugas kapal biasa akan membantu dan lebih prihatin kepada penumpang yang mempunyai anak kecil. Jadi, jangan malu untuk meminta bantuan.
2. Datang awal
Keluarga yang mempunyai anak kecil biasanya akan diberi keutamaan untuk memasuk pesawat terlebih dahulu. Jadi, ibu bapa yang mempunyai bayi mestilah datang lebih awal untuk keistimewaan ini.
3. Bawa stroller
Penumpang yang membawa stroller bermakna mereka membawa bayi atau kanak-kanak kecil. Sebagaimana yang teluh disebut tadi, keluarga yang mempunyai anak kecil biasanya akan diberi keutamaan untuk memasuk pesawat terlebih dahulu.
4. Pilih tempat duduk
Pilih tempat duduk yang sesuai agar pergerakan lebih mudah. Penerbangan yang lama memungkinkan kita perlu bangun ke tandas dan sebagainya.
5. Tempah kemudahan bassinet
Sebahagian syarikat penerbangan menyediakan kemudahan bassinet. Bassinet ialah bakul khas untuk meletakkan bayi.

Bassinet
6. Bawa selimut atau pakaian tebal
Suhu dalam kapal terbang agak sejuk. Jadi bawa pakaian yang sesuai untuk anak, atau lebih baik bersedia dengan pakaian tebal atau selimut.
7. Tutup telinga bayi
Tekanan udara ketika pesawat berlepas dan mendarat akan membuatkan bayi (juga orang dewasa) tidak selesa. Tutup telinga bayi untuk mengurangkan tekanan dan berikan bayi sesuatu yang boleh ditelan. Paling mudah, susukan merekan.
8. Peluk bayi
Ada bayi atau kanak-kanak kecil takut dengan bunyi pesawat. Bayi yang merasa takut akan menangis dan membuatkan penjaga merasa tidak senang duduk. Peluk bayi supaya dia rasa selamat dan selesa.
9. Sediakan alat hiburan
Perjalanan yang panjang mungkin membuatkan anak yang sudah pandai bermain merasa bosan. Sediakan alat untuk menghiburkan mereka seperti permainan, buku, busy book atau quite book.
10. Beri makanan yang sesuai
Untuk penerbangan yang panjang dan lama, bayi yang sudah makan akan perlukan makanan. Beri makanan yang sesuai untuk elakkan anak rasa mual yang boleh menyebabkan muntah.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan membantu ibu bapa yang merancang membawa bayi menaiki kapal terbang. Jika Che Ta boleh bawa Aisyah Dhia dan Scha Al Yahya boleh bawa Lara Alana ke luar negara menaiki penerbangan yang lama dan panjang, kenapa tidak anda?