Syukur alhamdulillah, pada 19 Mac hingga 30 Mac 2017 yang lalu kami sekeluarga telah dijemput Allah swt ke tanah suci menunaikan umrah. Ibu berbesar hati mencatatkan perjalanan umrah kami di sini, buat kenangan dan rujukan bersama. Semoga bermanfaat untuk semua yang singgah membaca.
Kami menggunakan khidmat Andalusia Travel and Tour sebagai agensi yang menguruskan perjalanan umrah kami dan berangkat ke Arab Saudi dengan penerbangan Sri Lankan Airlines.
Pengalaman Umrah Menaiki Sri Lankan Airlines Transit 8 Jam di Colombo
Untuk catatan pertama ini, ibu mulakan dengan pengalaman menaiki Sri Lankan Airlines dan transit di Colombo selama 8 jam.
Shah Alam – KLIA
Kami bertolak dari Shah Alam seawal jam 3.30 pagi. Memandangkan perjalanan kami ke KLIA adalah sangat awal pagi, dan tak mahu menyusahkan sesiapa yang mahu hantar, maka kami guna khidmat teksi sahaja. Kami menggunakan perkhidmatan teksi En Said Azlan. Ibu kenal En. Said ni melalui muka buku dan sangat tertarik dengan caranya mempromosikan khidmat teksinya dengan status-status santai.
Taklimat
Kami sampai di KLIA pada jam 4.00 pagi dan terus berkumpul untuk urusan check in bagasi. Kemudian kami diminta untuk berkumpul semula pada jam 5.30 pagi untuk taklimat.
Sementara menunggu masa untuk taklimat, sempat la bawa anak-anak untuk mengalas perut di KFC KLIA.
Masa taklimat agak panjang juga. Bila selesai taklimat, kami terus diarah bergerak ke balai berlepas sebab dikatakan kami dah lambat. Dan masani ibu mula gelisah sebab dah masuk waktu solat Subuh dan masa Subuh hampir berlalu.
Sri Lankan Airlines
Ini adalah pengalaman pertama kami menaiki Sri Lankan Airlines. Malah jujurnya ini adalah penerbangan antarabangsa pertama kami sekeluarga, jadi ibu hanya akan cerita tentang pengalaman sahaja. Tiada isu perbandingan dengan mana-mana syarikat penerbangan yang lain.
Pramugari
Bagi ibu, paling menarik dalam penerbangan Sri Lankan Airlines itu adalah pramugarinya sendiri. Hehe..

Pramugari Sri Lankan Airlines
Gambar pramugari Sri Lankan Airlines ni, ibu ambil di Google. Tetapi beginilah keadaan kapal terbang UL 1319 yang kami naiki dari KLIA ke Colombo. Dari Colombo ke Jeddah, kami naik kapal terbang yang lebih besar.
Keselesaan tempat duduk
Kami berada didalam kelas ekonomi, maka tempat duduk pun biasa-biasa sahaja. Tapi alhamdulillah selesa. Ada bantal kecil yang disediakan disemua tempat duduk, dan selimut atas permintaan.
Kedudukan tempat duduk jemaah kami berterabur. Mujurnya Maryam dapat duduk di sebelah makciknya, jadi kurang rasa kerisauan ibu. Ibu, Yusuf dan ayahnya membawa haluan sendiri di tempat duduk masing-masing.
Cumanya, ibu rasa lebih selesa dalam UL 1319 (seperti gambar pramugari di atas) berbanding UL 281 walaupun ia lebih besar (gambar seperti di bawah). Mungkin faktor keadaan kerusi..

UL 281 Sri Lankan Airlines
Makanan
Sepanjang perjalanan pergi dan balik, ibu hanya sempat ambil gambar makanan dalam kapal terbang hanya dua kali.

Sarapan pagi dalam UL 1319 (KLIA – Colombo)

Makan malam dalam UL 281 (Colombo – Jeddah)
Transit di Colombo Selama 8 Jam
Bermula setuju untuk mengambil pakej umrah dengan penerbangan Sri Lankan Airlines ni, kami dah tahu tentang transit 8 jam. Mula-mula risau juga bagaimana nak menghabiskan masa 8 jam tu, tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Perbezaan Masa Sri Lanka dan Malaysia
Kami berlepas dari KLIA pada jam 7.00 pagi waktu Malaysia dan mendarat semula selepas tiga jam setengah di Bandaranaike International Airport Colombo pada jam 8.00 pagi waktu tempatan. Bermakna, beza waktu di antara Malaysia dan Sri Lanka adalah 2 jam setengah.
Sekilas Pandang Katunayake Sri Lanka
Kami diberikan bilik hotel sepanjang tempoh transit, jadi dapatlah berehat-rehat. Sebuah bas mengambil kami di lapangan terbang dan membawa kami ke hotel transit anggaran 20 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan dapatlah cuci mata dan melihat suasana sekitar Katunayake Sri Lanka.

Selamat datang ke Katunayake Sri Lanka
Satu momen yang tak dapat dilupakan ialah apabila keretapi melintas. Jika Malaysia sudah maju dengan komuter, LRT dan sebagainya, di Sri Lanka masih ada keretapi klasik. Teruja ibu melihat keretapi itu meluncur hingga terbayang-bayang cerita tamil dulu-dulu. Hihi..

Keretapi melintas
Melalui jalan-jalan di Katunayake ini, ibu mula membayangkan Malaysia dulu-dulu. Mungkin seperti zaman 70an atau 80an mungkin. Bezanya, di Malaysia tiada tuk-tuk. Bas persiaran yang membawa kami mungkin tiada beza dengan bas lain, tapi bas awam di sini sama rupanya dengan bas awam masa ibu kecik-kecik dulu. Cuma maaf tiada gambarnya..

Sekilas pandang Sri Lanka
Transit di Hotel Ramada, Katunayake
inilah bilik kami sepanjang tempoh transit. Ibu dan Maryam sebilik, Yusuf dan ayahnya pula sebilik. Dapatla kami merehatkan diri dan melelapkan mata sebentar. Walaupun perjalanan Malaysia ke Sri Lanka hanya 3 jam setengah, hakikatnya kami sudah bersiap sejak jam 2.00 pagi.

Hotel Ramada, Katunayake Sri Lanka

Maryam yang sentiasa ceria
Jam 12.00 tengahari, makanan dihidangkan dan kami mengisi perut. Makanan terakhir masuk ke dalam perut adalah semasa sarapan di dalam penerbangan. Kami dihidangkan nasi dan lauk ayam yang seperti masak kari tapi ibu tak pasti masak apa sebenarnya. Makan ajelah. Haha..
Selepas makan tengahari, kami menunaikan solat jamak Zuhor dan Asar dan terus check out. Sementara menunggu bas sampai, sempatlah mengabadikan beberapa keping gambar buat kenang-kenangan.

Gambar kenangan bersama tuk-tuk di hadapan Ramada Hotel

Gambar kenangan sekeluarga di hadapan hotel
Lebih kurang jam 12.30 tengahari, kenderaan yang menjemput kumpulan jemaah kami sampai. Tapi hanyalah sebuah coster yang tak mampu memuatkan kami semua. Kira punya kira, keluarga kami tak dapat naik. Tapi ustaz mutawif kata, jangan risau. Ada kenderaan lain yang datang menjemput.

Kenderaan yang membawa kami sekeluarga dan mutawif ke lapangan terbang
Dan akhirnya, inilah kenderaan yang membawa kami sekeluarga dan juga ustaz mutawif dari hotel ke lapangan terbang. Sampai sahaja kami, jemaah yang lain sudah pun menunggu.
2 Jam di Lapangan Terbang Bandaranaike Sri Langka
Penerbangan ke Jeddah dijangka berlepas pada jam 4.00 petang dan kami sudah tiba di lapangan terbang seawal jam 1.30 pm lagi. Masani cabaran jemu menunggu tu mula ada, mujur wifi di lapangan terbang ni laju berdesup. Jadi sempatlah ipload sekeping dua gambar di muka buku.

Suasana balai berlepas dan sebelah kiri kanan adalah tempat menunggu selepas boarding.
Berlepas ke Jeddah

UL 281 yang membawa kami ke Jeddah
Jam 4.00 petang waktu tempatan bersamaan 6.30 petang waktu Malaysia, kami sudah berada di dalam perul UL281. Satu perjalanan yang panjang penuh debaran, semata-mata mencari redha Allah swt.
Hingga berjumpa lagi dalam catatan seterusnya.
salam puan.puan pergi ni pkej brp sorang ya.